Tuesday, January 25, 2011

MUHASABAH PENUNTUT ILMU


Kita masih lagi dalam fatrah imtihan,moga angin motivasi sentiasa bertiup segar membangkitkan semangat dan terus kental menelaah sumber ilmiah yang berada di sekeliling kita. 

Nilai-nilai positif dalam perjuangan tidak harus mudah hilang dari diri seseorang mahasiswa lebih-lebih lagi mereka yang menyandang tanggungjawap serta harapan ummah. Ini adalah satu amanah yang besar harus dihadapi dengan hati yang terbuka dan dalam masa yang sama membutuhkan usaha yang padu. 

Kadang kala diri seseorang mahasiswa itu teruji dengan pelbagai permasalahan yang berada di sekitarnya seperti masalah berkaitan rumah, sesama rakan dan terutamanya masalah dalam menguasai keseluruhan subjek pembelajaran yang kian hampir dengan imtihan.

Tekanan sebegini sebenarnya biasa berlaku di dalam fatrah imtihan yang giat berjalan. Tatkala ini pemikiran jernih amat diperlukan agar sebarang keputusan yang diambil tidak mendatang implikasi buruk terhadap diri dan rakan sekeliling. Menilai baik dan buruk serta memikirkan jangka panjang yang bakal ditempuhi. 

Pasti kita akan mempertimbangkan berkali-kali dalam melaksanakan tindakan yang melibatkan kesan pada masa depan.

Kesinambungan dari itu, mahasiswa seharusnya menyedari bahawa sebagai hamba Allah, perjuangan bukan sekadar di atas lembaran kertas dan juga bukan juga berpaksikan segulung ijazah untuk diraih. Bahkan perkara yang lebih besar ialah mengabdikan diri serta menegakkan agama-Nya di atas muka bumi, ini bertepatan dengan kalamullah"Dan tiadalah kami ciptakan jin dan maknusia melainkan untuk beribadat". 

Sehubangan dengan ayat itu tadi, mahasiawa yang dituntut ialah mereka yang dapat memberi sumbangan kepada agama khususnya dan masyarakat amnya. Meletakkan Islam pada martabat tertinggi dan punya sumbangan bermanfaat untuk masyarakat.
 
Namun semua maksud murni ini tidak mampu dicapai hanya dengan hafalan-hafalan dari silibus mahupun dari tajuk-tajuk muhim dari pensyarah. Pengetahuan yang luas serta pemahaman yang mendalam terhadap sesuatu bidang atau subjek amat penting. 

Sekiranya mahasiswa hari ini mencari ilmu sebagaimana pengembara yang dahagakan air di padang pasir dan di bawah mentari terik nescaya mahasiswa mampu mengorak langkah dengan cemerlang di samping zaman yang sentiasa menerima impak perubahan. 

Pekara ini jelas di sebutkan dalam kitab suci Al-Quraan yang bermaksud ”Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui”. Kini jelas bahawa mereka yang berilmu itu punya kedudukan istimewa di sisi Allah. 

Oleh itu mahukah kita memperolehi kelebihan yang ditawarkan oleh tuhan Maha Pengasih ini?.....
Maka jika hari ini kita tidak punya kesempatan dalam menghadam keseluruhan kitab dan juga atas dasar keutamaan terhadap imtihan yang terdekat, janganlah pula dibiarkan kitab-kitab kekal dengan lipatan bukan muqarrar sehingga tahun silih berganti. Ini seolah-olah membentuk mindset yang mana kita langsung tidak akan mengendahkannya lagi. 

Kitab-kitab ini sebenarnya adalah amanah yang perlu kita kupas dari kulit ke kulit. Memahami hingga mampu memberi dengan cara belajar dan mengajar.

Akhirnya sentiasalah mencari kesempatan dalam meningkatkan diri membuka seluas mungkin potensi-potensi yang terpendam, bermotivasikan contoh teladan ummah iaitu Rasulullah Salallahu alaihissalam dan berpaksikan Al-Quraanul Karim. Selamat menghadapi ujian dengan usaha doa serta tawakal,
salam imtihan..

No comments:

Post a Comment